Apa itu Umrah: Pengenalan dan Panduan Mengerjakan Umrah secara Lengkap
03 October 2022
Mengapa kita perlu menunaikan ibadah umrah? Umrah adalah salah satu ibadah sunat yang dianjurkan oleh Rasulullah ﷺ. Ibadah ini dilakukan dengan cara melakukan perjalanan ke Tanah Suci Makkah dan melakukan beberapa ritual tertentu. Tidaklah hairan jika banyak umat Islam yang ingin melakukan ibadah umrah, kerana ada banyak kelebihan dan manfaat yang boleh didapatkan dari ibadah ini.
Sejarah Ibadah Umrah
Rasulullah ﷺ merupakan insan pertama yang melakukan ibadah umrah. Pada ketika itu, setelah lama tidak kembali ke Kota Makkah atas sebab halangan orang Arab Quraisy, baginda telah bermimpi mengunjungi Baitullah, bercukur rambut, mengambil anak kunci Baitullah & Wukuf di Arafah bersama-sama sahabat.
Dengan itu, Rasulullah bersama 1,400 sahabat berangkat ke Makkah dengan berpakaian ihram dan membawa sebanyak 70 ekor haiwan ternakan, dengan tujuan melakukan ibadah Haji. Namun, niat mereka dihalang oleh kaum Quraisy di Hudaibiyah. Tempat ini juga menjadi saksi perundingan di antara Nabi dan kaum Quraisy yang dikenali sebagai ‘Perjanjian Hudaibiyah’.
Rasulullah mengenakan perjanjian dengan kaum Quraisy kemudian membatalkan umrah baginda dengan menyembelih unta. Malahan, baginda serta sahabat mencukur (tahallul) rambut dan kembali ke Madinah pada tahun yang sama.
Namun, tahun seterusnya Rasullah berjaya melakukan umrah dengan sempurna, atau di kenali sebagai ‘Umrah Qadha’ kerana ini merupakan umrah ganti yang dilakukan oleh baginda disebabkan peristiwa di Hudaibiyah. Rasulullah telah bermalam di Makkah selama tiga hari, kemudian keluar dari Makkah setelah menyempurnakan umrahnya.
Apa Itu Umrah dari Segi Pengertian
Maksud umrah dari segi bahasa ialah ziarah. Manakala, dari segi istilah yang disepakati oleh kebanyakan ulama ialah tawaf di baitullah, dan saie di antara safa dan marwah dengan ihram. Umrah boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja sepanjang tahun kecuali pada masa menunaikan Haji.
Mazhab Imam Al-Syafie berpendapat bahawa hukum melaksanakan umrah adalah wajib atau fardu bagi orang yang belum melaksanakan sementara dia mampu untuk melaksanakannya. Namun, sebahagian ulama seperti Imam Malik dan Imam Abu Hanifah yang mengatakan bahawa ibadah umrah itu hukumnya sunat mu’akkad pada umrah yang pertama sahaja.
Syarat-syarat Wajib Umrah
Pelaksanaan umrah dilakukan dengan mengikuti syarat-syarat wajib sebagaimana yang telah ditentukan oleh agama Islam. Syarat-syarat tersebut adalah sebagai berikut:
- Beragama Islam
- Sudah mencecah umur baligh
- Berakal (Bukan gila)
- Merdeka (Bukan hamba abdi)
- Berkuasa dan berkemampuan
Ibadah umrah hanya dikhaskan buat orang yang beragama Islam dan disarankan kepada orang Islam yang mampu. Dimana kemampuan yang dimaksudkan adalah mengikuti Istito’ah Haji, iaitu:
- Kesihatan yang baik – Umrah boleh diwakilkan kepada orang lain jika sebab tua atau kesihatan dan fizikal yang tidak mengizinkan atau tiada harapan sembuh.
- Kewangan mencukupi – Termasuk perbelanjaan tambang, bekalan, tempat tinggal, keperluan semasa di Tanh Suci dan keperluan waris yang ditinggalkan di Tanah Air.
- Kebenaran pihak Arab Saudi – Surat tawaran dari pihak berwajib sesebuah negara mengikuti kuota visa yang telah diperuntukkan negara itu.
- Mahram (Diiringi oleh suami, adik-beradik, ayah atau muhrim) – Syarat yang ditetapkan bagi jemaah wanita berusia bawah 45 tahun.
- Kenderaan pergi dan balik – Mempunyai kenderaan pergi dan balik ke Tanah Suci dan ke Tanah Air.
- Aman dalam perjalanan – Tidak merasa bimbang tetang keselamatan nyawa, harta benda, atau wabak penyakit sewaktu bermusafir.
Dengan mengikuti syarat-syarat wajib tersebut, pelaksanaan umrah dapat dilakukan dengan baik dan benar sesuai dengan tuntunan agama Islam.
Rukun-rukun Umrah Yang Telah Digariskan Oleh Islam
Terdapat 5 rukun umrah yang wajib ditepati oleh para jemaah umrah. Jika salah satu rukun ditinggalkan secara sengaja atau tidak sengaja, ibadah umrah tersebut adalah tidak sah.
1. Niat Ihram
Sebelum melakukan apa-apa ibadah, seharusnya dimulakan dengan niat. Jika anda terlupa sama ada sengaja atau tidak sengaja, maka umrah anda akan batal. Berniat di Miqat adalah yang paling afdal tetapi niat boleh dilakukan sebelum melepasinya.
Niat umrah adalah:
نَوَيْتُ العُمْرَةَ وَأَحْرَمْتُ بِهَا لله تَعَالَى
Maksudnya: “Sahaja aku berniat umrah dan berihram dengannya kerana Allah Taala”.
2. Tawaf
Amalan umrah yang pertama dilakukan oleh para jemaah setelah tiba di Makkah adalah Tawaf. Tawaf bermaksud mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali dengan syarat-syaratnya.
Terdapat 9 syarat yang wajib diikuti semasa melakukan tawaf.
- Menutup aurat seperti di dalam solat.
- Suci daripada hadas.
- Suci daripada najis pada pakaian, badan dan tempat tawaf.
- Menutup aurat seperti di dalam solat.
- Hendaklah dimulakan pada sudut Hajarul Aswad.
- Sewaktu berjalan melakukan tawaf, Baitullah hendaklah sentiasa berada di sebelah kiri bahu.
- Berjalan itu dengan tujuan tawaf.
- Cukup tujuh keliling dengan yakin.
- Tawaf itu hendaklah dilakukan di dalam masjid dan di luar dari bahagian Kaabah.
Para jemaah juga disunatkan untuk membaca doa ketika melihat Kaabah.
Niat tawaf umrah:
آللَّهُمَّ إِنِّى أُرِيدٌ طَوَفَ بَيْتِكَ الْحَرَامِ سَبْعَةَ أَشْوَاطٍ طَوَافَ الْعُمْرَةِ لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sahaja aku berniat tawaf umrah di Kaabah ini tujuh pusingan kerana Allah Taala”.
Setelah selesai tawaf, tunaikan solat sunat 2 rakaat di belakang Maqam Ibrahim.
Niat solat sunat tawaf:
أُصَلِّيْ سُنَّةَ الطَّوَافِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَلَى
Maksudnya: “Sahaja aku solat sunat Tawaf dua rakaat kerana Allah Taala.”
Rakaat pertama: Baca surah al-Fatihah, kemudian baca surah al-Kafirun.
Rakaat kedua: Baca surah al-Fatihah, kemudian baca surah al-Ikhlas.
Setelah selesai solat sunat tawaf, disunatkan untuk berdoa di belakang Maqam Ibrahim.
Kemudian, disunatkan untuk keluar melalui Pintu Safa sebelum mengerjakan Sai’e.
3. Sai’e
Maksud saie adalah berjalan ulang alik di antara Bukit Safa dengan Marwah. Jarak antara dua bukit ini adalah lebih kurang 420 meter. Ia dilakukan selepas sahaja siap Tawaf.
Terdapat 6 syarat untuk Sai’e.
- Hendaklah dilakukan selepas Tawaf.
- Mulai daripada Bukit Safa dan disudahi di Bukit Marwah.
- Dilakukan sebanyak tujuh kali dengan sempurna.
- Hendaklah Sai’e sehingga sampai ke penghujung tempat saie di Bukit Safa dan Bukit Marwah pada setiap kali.
- Hendaklah Sai’e di tempat yang ditentukan.
- Mengekalkan niat untuk bersai’e sepanjang masa melakukan Sai’e.
Perjalanan mengerjakan Sai’e tidak boleh terputus. Ia bermaksud seseorang yang sedang melakukan Sai’e tidak boleh keluar melalui satu pintu dan masuk semula melalui pintu lain.
4. Tahallul (Bergunting atau bercukur)
Setelah selesai saie, jemaah wajib bergunting atau bercukur. Tahallul bertujuan untuk melepaskan diri daripada segala pantang larang semasa ihram. Jemaah hendaklah menggunting sekurang-kurangnya tiga helai rambut.
Bagi lelaki, ia lebih afdhal untuk mencukur kepala. Jemaah boleh menggunting rambut orang lain tetapi lebih afdal untuk gunting rambut diri sendiri terlebih dahulu. Bagi jemaah yang botak, sunat melalukan mata pisau di atas kepala.
Selepas siap, maka terlepaslah jemaah daripada segala pantang larang dalam ihram umrah.
5. Tertib
Rukun yang terakhir adalah tertib. Dalam mengerjakan umrah, jemaah harus mengerjakan syarat-syarat umrah mengikut tertib di mana bermula dari niat sehinggalah bercukur. Sekiranya tidak mengikuti tertib ataupun tertinggalkan salah satu rukun, walaupun secara tidak sengaja, maka umrah dikira tidak sah.
Wajib Umrah
Wajib umrah adalah perkara yang mesti dilakukan oleh jemaah umrah. Jika perkara wajib ini sengaja ditinggalkan, hukumnya adalah berdosa dan dikenakan dam. Jika tidak disengajakan, hukumnya tidak berdosa tetapi masih dikenakan dam.
Berikut merupakan perkara-perkara wajib umrah:
1. Niat Ihram di Miqat.
Miqat terbahagi kepada dua iaitu Miqat Zamani dan Miqat Makani.
- Miqat Zamani. Bagi mereka yang mengerjakan umrah ialah sepanjang tahun. Selain daripada masa berihram haji.
- Miqat Makani. Ia merupakan sempadan terakhir bagi seseorang jemaah dari luar kota Mekah berniat ihram umrah atau haji.
Lokasi ini ditentukan mengikut arah jemaah umrah atau haji datang dan masuk ke Tanah Suci.
Terdapat 5 Miqat bagi ihram haji atau umrah:
- Bir Ali atau Zulhulaifah – ini adalah bagi jemaah yang datang dari arah Madinah.
- Yalamlam – ini bagi Jemaah datang dari arah Yaman.
- Qarnul Manazil – bagi jemaah yang masuk ke Makkah melalui jemaah dari Najd, Kuwait dan Asia Tenggara seperti Singapura dan Malaysia yang datang menaiki pesawat.
- Al-Juhfah – bagi yang datang dari arah Mesir, Syam, Tunisia, Jordan, Lubnan, Palestin dan sebagainya.
- Zatu Irqin – untuk Jemaah yang datang dari arah Iraq.
2. Menjaga pantang larang ketika ihram.
Pantang larang ihram ialah perkara yang haram dilakukan ketika dalam ihram. Para jemaah perlu mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang semasa ihram agar ibadah umrah diterima Allah ﷻ.
Masa bermula pantang larang ihram dimulai dengan berniat ihram umrah dan ianya berakhir setelah semua rukun umrah dikerjakan dengan sempurna. Secara umumnya, larangan semasa mengerjakan ihram terbahagi kepada 4 iaitu pakaian, kecantikan, alam sekitar dan perhubungan.
Antara pantang larang ihram:
- Bagi lelaki:
- Memakai pakaian bersarung.
- Menutup kepala atau sebahagian daripadanya.
- Bagi wanita:
- Menutup muka atau sebahagian daripadanya.
- Menyarung tangan.
- Bagi lelaki dan wanita
- Memakai, memakan, menghisap, menghidu bau-bauan.
- Memakai minyak di kepala, janggut, misai, semua bulu kecuali bulu di pipi dan dahi.
- Menanggalkan rambut atau bulu dari mana-mana anggota badan.
- Mengerat atau membinasakan kuku.
- Menebang, mengerat, mencabut, atau membinasakan pokok atau tumbuhan.
- Memburu atau membinasakan binatang buruan yang halal dimakan.
- Melakukan sesuatu yang mendatangkan syahwat.
- Bersetubuh.
- Berkahwin, mengahwinkan atau menerima wakil kahwin.
Extra: Tawaf Wida’
Tawaf wida’ adalah tawaf ucap selamat tinggal sebelum keluar meninggalkan kota suci Makkah lebih daripada 2 marhalah dengan mengikuti syarat-syarat yang tertentu.
Niat tawaf wida’:
اَللَّهُمَّ إِنِّي أُرِيْدُ طَوَافَ بَيْتِكَ الْحَرَامِ سَبْعَةَ أَشْوَاطٍ طَوَافَ الْوَدَاعِ ِللهِ تَعَالَىْ
Maksudnya: “Ya Allah, aku hendak tawaf tujuh keliling Baitullah Al-Haram tawaf wada’ kerana Allah Taala.”
Tawaf wida’ berbeza dengan tawaf umrah, iaitu memakai pakaian biasa yang menutup aurat, tidak perlu pakaian ihram, tidak perlu keluar ke Miqat dan lain-lain. Tawaf wida’ ini dilakukan selepas selesai urusan membeli-belah dan bersiap sedia untuk pulang ke tanah air.
Darul Ajyal juga ada menyediakan pakej ibadah umrah untuk jemaah yang ingin melaksanakan ibadah umrah. Untuk mengetahui lebih lanjut dan melihat tarikh yang akan diadakan, sila layari page umrah kami. Ataupun boleh hubungi kami di talian 9784 7964 untuk keterangan lanjut.